Teknik Pancing Siakap Kolam

Kalau disebut ikan kolam, ia ikan peliharaan sejak kecil. Jadi, ikan peliharaan biasanya diberi makan dedak dan ikan hancur. Namun sifat semula jadi ikan ialah ia dapat menilai makanan dan bijak membuat pilihan apabila bebas dari sangkar. Tiga jenis umpan terbaik untuk siakap kolam ialah udang, belanak dan beliak mata. Udang dan belanak hidup lebih mujarab manakala beliak mata sesuai dihiris. 

Perambut 50 paun sama ada jenis biasa atau florokarbon biasa digunakan. Jika perambut terlalu kasar maka renangan ikan dan udang hidup tidak begitu menarik. Mata kail biasa digunakan ialah saiz 3/0 hingga 5/0 (Gamakatsu, Owner, Mustard) atau bernombor 8 untuk mata kail jenis Berkley, Marotu dan Shino. 

Tiga teknik utama pemancing kolam iaitu menggunakan pelampung, teknik dasar tanpa ladung dan teknik ‘casting’ udang pasar (kopek kulit). Pemilihan teknik ini berpandukan kepada potensi semasa. Lihat sekeliling pemancing lain yang dapat ikan dan rujuk teknik yang efektif ketika itu. Ini kerana sifat ikan kolam kadang kala meronda dasar dan kadang kala berada di pertengahan kolam.

Teknik Pancing Di Pantai

Waktu air pasang adalah masa terbaik memancing kerana ketika ini banyak ikan pemangsa rapat ke pantai mencari makanan. Ikan semakin menjauh dari pantai apabila air bergerak surut. Namun sudah menjadi kelaziman pemancing pantai menggunakan joran panjang dan membuat lontaran pada jarak biasa iaitu jarak yang sering dibaling tidak kira sama ada air pasang mahupun surut.

Teknik terbaik ialah membuat lontaran sejauh mungkin dan tunggu jika ada getuan. Jika tiada karau sedikit tali dan tunggu lagi. Ulangi proses ini sehingga umpan pancing berada hampir dengan pantai. Berhenti jika terdapat getuan. Teknik ini ialah untuk mengesan lokasi ikan bermain ketika air pasang.

Oleh kerana laut adalah terbentang luas, sukar untuk mengagak lokasi ikan kecuali dengan teknik ini. Kalau boleh buat penandaan jarak yang potensi sebagai saja umpan menerima getuan. Sesetengah kawasan pula ombak akan menolak umpan ke pantai ketika air pasang.

Jika ini berlaku, kita perlu memastikan tali sentiasa dalam keadaan tegang dengan mengarau tali yang kendur. Jika kadar tolakan ombak dan arus kuat, gunakan ladung yang sesuai bagi mengelakkan perkara ini terjadi. Sama juga halnya ketika memancing di kala air surut atau hujung pasang.

Lontarkan umpan sejauh mungkin hingga ke tengah sambil menunggu sentapan berlaku. Ikan yang besar amat jarang bergerak terlalu rapat ke pantai kecuali di kawasan airnya dalam.
Memancing di pantai yang curam atau landai biasanya dengan kaedah dasar. Kalau pantainya landai dan cetek, melabuhkan umpan di dasar adalah terbaik. Cuma jarak yang menjadi perbezaan.

Jika anda mengetahui struktur persisiran benteng dan dasar di pantai itu, mungkin ini satu bonus kerana kita dapat mengagak lubuk pilihan ikan. Jika air jernih di pantai, kawasan dalam mudah dikenal pasti melalui perbezaan warna air. Jika terang memutih menandakan ia cetek, hijau dan biru gelap menandakan ia dalam manakala jika gelap kehitaman mungkin ada struktur karang di dasarnya.

UMPAN IKAN AIR TAWAR

a). Dedak dan roti adalah antara umpan terbaik menjerat patin terutama patin kolam. Kalau patin sungai pula buah ara hutan, perut ayam dan gumpalan cacing menjadi pilihan. Umpan untuk tongsan sisik halus hampir sama dengan umpan untuk patin kolam. Yang berbeza ialah teknik mengumpan. Bila memperkatakan mengenai dedak, ia terlalu banyak jenis dan perisa. Rajin mencuba ramuan dedak boleh dijadikan ukuran penentu. 

b). Haruan jenis ikan menyambar mangsa. Umpan seperti katak, belalang, cengkerik, anak ikan sepat, anak ikan seluang serta udang sungai menjadi menu utama. Ikan puyu boleh dipancing menggunakan cacing halus dan telur kerengga. Bagus lagi kalau kita dapat larva lebah.
c). Toman menelan sebarang jenis anak ikan seperti keli, baung, sepat, lampam, anak ikan merah mata, ikan terbol, seluang dan pelbagai jenis anak ikan lain. Selain itu, katak menjadi senarai makanan toman. Kelah pula sering dikaitkan dengan umpan sawit peram, buah maris, buah ara, buah neram. Udang sungai, anak ikan juga boleh digunakan sebagai pilihan kedua. Ikan lampam mudah dipancing menggunakan umpan cacing, dedak, nasi maupun cebisan roti. 

d). Ikan keli boleh diumpan dengan gumpalan cacing, cengkerik, perut ayam, dedak mahupun gumpalan roti. Anak ikan seluang boleh dijadikan pilihan kedua. Ikan kalui pula boleh dipancing menggunakan udang sungai, buah ara dan anak ikan seluang. 

e). Bagi belida ia memburu anak ikan kecil, udang sungai. Umpan belida kebanyakan dari jenis umpan hidup kerana sifat belida suka menyambar makanan.

Waktu Pancing Ikan Sembilang

Ikan sembilang boleh dipancing sepanjang tahun. Yang penting ialah masa iaitu ketika air bunga pasang atau air bergerak pasang. Ini kerana ikan sembilang akan merayau hingga ke tepian pantai cetek mencari makanan. Sembilang tidak tertumpu kepada satu-satu kawasan saja.

Ketika tiada arus ia berkumpul di kawasan yang ada reba dan tunggul kayu kemudian mula bergerak mencari makanan apabila air mula pasang. Ia akan masuk hingga jauh ke dalam anak sungai ketika air pasang dan balik semula ketengah apabila air surut. Bagi yang kurang arif, sebarang gegaran kecil pada hujung joran tentu menandakan umpan digertu ikan.

Menggunakan tali yang lebih sensitif seperti tali sulam boleh memberi isyarat kepada joran dengan cepat. Joran akan bergetar beberapa kali ketika umpan diusik. Sesetengah joran yang melentur secara perlahan dan sekata menandakan ia mengena pada sampah hanyut. Gegaran adalah petunjuk bezakan joran yang diusik ikan atau sampah. Joran yang diusik ikan sama ada ia bergegar kecil dulu atau secara tiba-tiba lenturan berlaku.

Kalau sampah atau objek lain mengena joran ia tiada tindak balas apabila joran diangkat. Air pasang dan surut sememangnya waktu yang kita boleh pancing. Untuk pancing pantai waktu air gerak pasang adalah paling sesuai manakala yang menggunakan sampan atau bot kedua-dua masa ini tidak memberi impak jika tekong tahu lokasi dan lubuk yang bagus.